MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka mengeluarkan 1,068 kompaun bernilai RM543,000 sehingga minggu epidemiologi (ME) 32 membabitkan pembiakan nyamuk Aedes di premis-premis diperiksa jabatan itu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata sehingga kini 453 kompaun dibayar membabitkan kutipan berjumlah RM67,770.

"Sehingga tempoh ME 32 juga Jabatan Kesihatan Melaka memeriksa 55,164 premis dan daripada jumlah tersebut, 6,461 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk.

"Bagi kes denggi di Melaka, sebanyak 688 kes direkodkan dari Januari hingga Sabtu lepas berbanding 359 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi Cegah Denggi di Kota Laksamana di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah Dr Noor Aizam Mohd Said.

Ngwe berkata dalam tempoh sama juga, sebanyak 26 episod wabak denggi dilaporkan di negeri itu membabitkan 23 lokaliti, satu lokaliti berulang dan dua lokaliti kawasan panas.

Beliau berkata antara faktor peningkatan kes disebabkan pertambahan pekerja asing menyewa di kawasan pangsapuri yang menjadi cabaran kerana kurang kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekeliling.

"Kita akan meminta kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memeriksa dan memantau kawasan yang didiami ramai pekerja asing seperti di Pangsapuri Kota Laksamana dengan hampir 70 peratus warga asing.

"Kita juga menggesa persatuan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk mengadakan program gotong-royong bersama-sama masyarakat setempat untuk mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

-- BERNAMA